Thursday, 8 November 2012
2.0 Definisi Nilai Murni
Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila
individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:
"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"
(Wan Mohd. Zahid, 1988)
Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan, penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah melalui Lapuran Kabinet (Lapuran Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.
3.0 Falsafah Pendidikan Negara
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:-
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"
Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri:
a. Percaya dan patuh kepada tuhan
b. Berilmu pengetahuan
c. Berakhlak mulia
d. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
e. Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. Bangsa dan negara.
f. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Keseimbangan dan keharmonian yang terdapat dalam FPN akan dapat dicapai jika nilai-nilai murni ini dapat direalisasikan melalui kurikulum (khususnya dalam pendidikan formal dan tidak formal) supaya ilmu pengetahuan akan dapat diperkembangkan sebagai khalifah Allah dimukabumi ini, manusia hendaklah menyeru dan menyedarkan sesama manusia yang lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau selaku Menteri Pendidiakn pernah menyeru agar FPN menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan dalam melaksanakan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang hendak dicapai. Usaha dan kesedaran daripada insan itu sendiri amat penting dalam mentafsir, membentuk dan melaksanakn hasrat falsafah pendidikan demi untuk melahirkan insan yang berilmu, beriman, berakal, berketerampilan dan berakhlak mulia.
Kesedaran tentang penanaman nilai-nilai murni disemai dan dibajai mulai zaman kanak-kanak lagi. Ibubapa, guru-guru dan masyarakat masing-masing berperanan dalam memberi teladan kepada kanak-kanak agar mereka dapat menyesuaikan dan memeprsembahkan diri mereka berdasarkan kepada nilai murni yang ditonjolkan kerana mereka ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna nilai yang baik. Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".
Pendidikan di rumah adalah bergantung kepada ahli keluarga itu sendiri. Rasulullah S.A.W menegaskan kepentingan pendidikan bermula di rumah iaitu pada peringkat keluarga lagi. Sabda baginda yang bermaksud:
" Setiap bayi yang dilahirkan itu dengan fitrahnya. Hanya ibubapanya yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Di sekolah guru memainkan peranan sebagai ibubapa dalam membentuk kanak-kanak selaras dengan penerapan yang dimasukkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Nilai-nilai murni mula diterapkan dari pendidikan pra sekolah lagi merupakan basic atau asas kepada proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi dan bernilai murni.
Guru bukan hanya menjalankan tugas mengajar matapelajaran yang terdapat dalam syllabus tertentu sahaja, sebab nilai murni perlu terdapat dalam setiap matapelajaran. Dan adakalanya nilai murni yang disalurkan itu tidak terdapat secara khusus di dalam subjek tersebut tetapi diterapkan secara tidak formal seperti komunikasi yang baik antara guru dan murid, yang akan mempengaruhi penanaman nilai dalam jiwa pelajar.
4.0 Rasional Nilai-nilai Murni dalam Falsafah Pendidikan Negara
Pada bulan Mei 1969, rusuhan kaum berlaku dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan kebangsaan kita. Masyarakat kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan setiap kaum. Selain daripada itu tekanan daripada cendikiawan Islam terutama sejak Persidangan Sedunia Tentang Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977 serta penularan pelbagai jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dikalangan pelbagai lapisan masyarakat mengalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih kepada isu nilai dalam pendidikan.
Sebagaimana yang kita tahu matlamat dasar pendidikan negara adalah untuk melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin, berpengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan berwawasan dan terlatih. Maka apakah corak pandangan hidup atau "world view" yang harus didedahkan kepada pelajar atau belia sekarang untuk mereka hayati, amal dan wariskan?. Untuk melihat output dan product yang positif yang dijelmakan oleh pelajar ialah melalui penanaman nilai-nilai murni serta penekanan yang lebih jitu dalam usaha mendidik mereka agar selaras dengan penyataan FPN ini. Fungsi utama proses pendidikan ialah sebagai agen pemasyarakatan dan pembudayaan dalam menerapkan nilai-nilai tersebut. Yang penting sekali adalah kesepaduan empat sifat utama iaitu JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual) yang akan menghasilkan keseimbangan dalam melahirkan individu yang berakhlak.
Masyarakt adalah agen ketiga dalam membentuk nilai murni. Melalui FPN yang dipelajari disekolah-sekolah baik untuk ahli masyarakat yang sedang atau telah tamat bersekolah. Mereka telah diterapkan dan diajar dengan nilai murni. Kesan daripada apa yang dipelajari mereka boleh jelaskan kepada orang lain samada melalui bentuk penerangan, perbincangan melihat ataupun perubahan perlakuan sendiri. Penerapan nilai itu mestilah bersahaja dan tidak langsung dan sentiasa berterusan.
Di Malaysia dewasa ini isu-isu penerapan nilai murni semakin ketara dan menonjol. Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan strategi penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif dimana:
" Nilai-nilai murni akan disisipkan melalui kesemua matapelajaran dan akan diperkukuhkan melalui kegiatan-kegiatan ko-kurikulum, formal dan tidak formal, di dalam dan di luar bilik darjah, akan digunakan sepenuhnya dengan cara bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan."
5.0 16 Aspek Nilai-nilai Murni
Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak.
Di sekolah penerapan nilai murni boleh disepadukan melalui:
a. Secara pertuturan
b. Secara perlakuan
c. Secara teladan
d. Secara isyarat
e. Secara kefahaman
f. Secara interpretasi
g. Secara konteksual
Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah memperakui 16 nilai-nilai murni:-
1. Baik Hati
Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang lain. Ini meliputi:
o Aspek belas kasihan
o Bertimbang rasa
o Murah hati
o Saling faham memahami
o Sedia memaafkan
1. Berdikari
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Berdikari dalam konteks ini membawa pengertian:
o Bertanggungjawab
o Berupaya bertindak sendiri
o Jaya diri dan yakin pada diri sendiri.
1. Hemah Tinggi
Berbudi pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah lembut yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain. Ciri-ciri berhemah tinggi adalah:
o Kesopanan
o Mengakui kesalahan
o Ramah mesra
1. Hormat Menghormati
Menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan yang bersopan. Ini merangkumi:
o Hormat dan taat kepada ibubapa
o Hormat kepada orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
o Hormat kepada raja dan negara
o Patuh kepada undang-undang
o Hormat kepada hak asasi
o Hormat kepada kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan
o Hormat kepada keperibadian individu.
1. Kasih sayang
Perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan. Rasa ini lahir dari hati yang rela terhadap sesuatu, tanpa sebarang unsur kepentingan diri:
o Sayang kepada nyawa
o Sayang kepada alam sekeliling
o Cinta kepada negara
o Cinta kepada keamanan dan keharmonian
1. Keadilan
Perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.
1. Kebebasan
Kebebasan yang dimaksudkan ini, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditentukan oleh agama, masyarakat dan negara. Contohnya ialah:
o Kebebasan di sisi undang-undang
o Kebebasan dalam sistem demokrasi.
1. Keberanian
Kesanggunpan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu perlu ada pada setiap orang. Tetapi ia harus tahu batas dan keupayaannya kerana keberanian yang melulu mengakibatkan bencana. Nilai ini merangkumi:
o Berani dengan tidak membuta tuli
o Berani kerana benar
o Berani mempertahankan pendirian
o Berani bertanggungjawab.
1. Kebersihan fizikal dan mental
Kebersihan fizikal ialah kebersihan diri dan kebersihan persekitaran. Kebersihan mental pula merangkumi pertuturan, perlakuan, pemikiran dan kerohanian. Antaranya ialah:
o Kebersihan diri
o Kebersihan persekitaran
o Pertuturan dan kelakuan yang bersopan
o Pemikiran yang sihat dan membina
10. Kejujuran
Sikap dan perlakuan yang menunjukan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
1. Kerajinan
Usaha berteruan yang penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara.
1. Kerjasama
Usaha baik dan membina yang dilakukan secara bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat seperti persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong royang, ketoleranan dan perpaduan.
1. Kesedaran
Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat. Ini termasuklah:
o Sederhana dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.
o Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku.
1. Kesyukuran
Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas di atas nikmat dan kesenangan yang diperolehi seperti berterima kasih,, mengenang budi dan penghargaan.
1. Rasional
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, tanpa dipengaruhi oleh perasaan. Umpamanya seperti boleh membuat pertimbangan, boleh membuat penakulan dan berfikiran logik dan terbuka.
1. Semangat Bermasyarakat
Kesediaan melakukan sesuatu untuk kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat seperti bermuafakat, kerajinan dan peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat.
6.0 Strategi Penerapan Nilai Murni
Suatu proses perubahan yang sedang berlaku dalam Falsafah Pendidikan Negara dengan menjadikan "Manusia" sebagai objek yang paling utama. Aspek-aspek Ontologi (teori kejadian), epistemologi (teori ilmu) dan axiologi (teori nilai). Ketiga-tiga aspek ini digabungkan sebagai commitment untuk menjadikan nilai-nilai murni sebagai asas utama dalam kurikulum pendidikan kebangsaan.
Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menggunakan strategi bersepadu diperingkat menengah. Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah di antara satu sama lain, malah berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur-unsur utama yang akan digunakan untuk mewujudkan kesepaduan itu ialah unsur nilai.
Dalam pendidikan , penerapan nilai murni berlaku secara bersahaja dan tidak langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak langsung ini penting kerana nilai tidak boleh diajar secara formal seperti matapelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan.
Bagi strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran, pendekatan kognitif dalam bentuk perbincangan dapat dilakukan. Fakta-fakta sejarah dan cerita-cerita dalam matapelajaran sastera umpamanya akan dapat dibincang melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu. Pelajar di mana membuat penilaian berdasarkan kepada nilai mereka sendiri di mana guru hanya bertindak sebagai pembimbing kepada pelajar untuk mereka periksa nilai sendiri di samping guru mencari alternatiif lain.
Nilai yang diterapkan boleh menjadi kriteria panduan tentang bagaimana sesuatu nilai harus dilakukan misalnya nilai keberanian ataupun rasional. Orang yang rasional boleh membuat pertimbangan yang baik dalam menghadapi menyelesaikan sesuatu masalah. Sikap perihatin guru dan kesedaran pelajar dalam memupuk nilai murni baik secara formal ataupun spontan menyebabkan ianya akan sentiasa dapat dipupuk dari semasa ke semasa.
Tindakan Kementerian Pendidikan yang melancarkan strategi bersepadu diperingkat sekolah menengah (KBSM) adalah bersesuaian kerana ia bertujuan memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah jauh antara satu sama lain dan sentiasa berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur yang menunjukan kesepaduan ini ialah unsur nilai.
7.0 Teknik Penerapan Nilai Murni
Walaupun nilai-nilai murni diwar-warkan untuk dilaksanakan dan diserapkan dalam pendidikan, jika tidak ada teknik yang sesuai ianya tidak akan mencapai matlamat dan keberkesanannya. Antara cara yang dikenalpasti untuk menerpkan dan menyerap serta menyemai nilai-nilai murni ialah:
• Melalui matapelajaran tertentu (Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam)
• Penerapan nilam murni dalam matapelajaran lain
• Aktiviti ko-kurikulum
• Aktiviti persatuan sekolah
Melaui teknik-teknik di atas, penerapan nilai murni akan dapat dilaksanakan walaupun tidak sepenuhnya. Melalui matapelajaran tertentu, sekurang-kurangnya dengan mewajibkan pelajaran mengambil subjek yang berkenaan akan memberikan pengetahuan ataupun akan dapat menarik minat mereka untuk belajar.
Begitu juga dengan penerangan melalui matapelajaran lain yang mungkin berlaku secara langsung misalnya melalui perlakuan atau interaksi. Di sini pelajar akan dapat melihat dan membandingkan serta mengaitkan apa yang dipelajari dalam matapelajaran khusus tadi dengan apa yang dilihat sekarang. Disamping bimbingan guru-guru dasn ibubapa, kesedaran daripada pelajar itu sendiri amat penting dalam menetapkan situasi diri mereka sendiri.
Teknik ke tiga dan ke empat juga berlaku secara tak langsung di mana biasanya melalui teknik ini penerapan nilai-nilai murni akan lebih menyerlah. Penerapan nilai-nilai murni akan tertera dengan sendirinya. Jika kumpulan yang tidak mempunyai nilai murni mereka akan sentiasa berada dalam keadaan bermasalah.
8.0 Keberkesanan penerapan nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Memandangkan penerapan nilai telah lama dilaksanakan dikalangan pelajar, baik melalui ibubapa, guru ataupun masyarakat, hari ini kita telah dapat melihat beberapa bukti yang menunjukkan sejauhmana keberkesanan ataupun ketidakberkesanan penerapan tersebut.
Adakah matlamat FPN untuk melahirkan insan yang seimbang dan hamonis telah terccapai? Jawapannya, "Ya" dan "Tidak", ini kerana walaupun penerapan nilai telah disemai dan dilaksanakan namun masih ada yang tidak mengamalkannya walaupun mereka telah menerimanya. "Ilmu tanpa Amal", tiada ertinya.
Antara bukti keberkesanan yang telah kita dapat lihat pada hari ini ialah semakin ramai golongan remaja kita yang berakhlak mulia walaupun mereka dipengaruhi oleh pelbagai godaan untuk memencongkan nilai murni pada diri manusia. Golongan remaja yang awal 20-an sekarang adalah mereka yang telah diterapkan dan diberi penekanan mengenai penerapan nilai-nilai murni semasa di sekolah dahulu. Hasilnya kita lihat pada hari ini adanya kesedaran daripada golongan remaja sendiri untuk membenteras kepincangan yang dihadapi oleh segelintir rakan mereka yang masih dipengaruhi oleh nilai yang tidak elok. Misalnya, dalam industri muzik yang sentiasa mengulit remaja dengan lagu-lagu dan muzik terkini seperti rock, dang-dut, dan lain-lain. Tapi ada juga remaja yang sedar dan cuba menarik dan menutupinya dengan mengalunkan lagu-lagu dakwah dengan memuji kebesaran Illahi seperti kumpulan Rabbani, Raihan, Hijjaz, Hawa dan sebagainya. Perkembangan kumpulan pemuzik dakwah ini sekurang-kurangnya menunjukkan adanya kesedaran dan kejayaan pemupukan nilai murni.
Dari segi ekonomi misalnya, kanak-kanak sekolah begitu perihatin terhadap kelemahan dan kesusahan orang lain. Penerapan nilai murni yang mereka terima membantu menyedarkan mereka untuk menderma, menolong dan perihati terhadap masalah yang wujud tanpa mengira siapa. Contohnya, "Derma Hari Pahlawan" yang selalu di buat oleh kanak-kanak sekolah , menunjukkan disamping mereka menderma mereka bekerjasama membantu memungut derma tersebut. Ini menunjukkan satu inesiatif yang baik dalam menyemai nilai-nilai murni.
Anugerah "Tokoh Kanak-kanak", "Pingat Hang Tuah", "Olahragawan dan Olahragwati" dan lain-lain anugerah menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai dan keberkesannanya kerana penganugerahan itu diberikan berdasarkan kepada sikap, sifat dan pencapaian yang baik yang ditunjukkan.
Yang paling jelas kita lihat sekarang ialah nilai saling hormat menghormati yang ditunjukkan oleh remaja kita kepada ahli masyarakat. Melalui penerapan nilai di sekolah-sekolah, ramai pelajar yang dapat menerimanya. Misalnya mereka prihatin dalam menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Mereka pandai menyesuaikan diri dalam sesuatu kelompok tertentu agar tidak menyinggung perasaan orang lain.
Namun demikian tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua nilai-nilai murni yang diterapkan di sekolah-sekolah atau di rumah itu diterima pakai oleh pelajar kita, sebab masih ada yang menunjukkan kesan yang negatif. Masalah-masalah sosial yang semakin meningkat sekarang menunjukkan kesukaran mereka melaksanakan nilai-nilai murni tersebut walaupun mereka mengetahuinya, tetapi tidak dipraktikan. Ini berpunca daripada beberapa faktor tertentu seperti ibubapa, institusi sekolah sendiri, guru dan masyarakat dan pelajar itu sendiri.
Ibubapa misalnya mereka walaupun telah menyemai dan menanam nilai-nilai murni dalam jiwa anak mereka tetapi tidak menggalakkan mereka untuk mengamalkan adalah sesuatu yang tidak wajar.
Begitu juga guru-guru dan masyarakat. Mereka tidak begitu memberi perhatian terhadap nilai-nilai yang asas atau kecil. Mereka memandang ringan atas beberapa kesilapan kecil yang dilakukan dan kurangnya penerapan. Guru misalnya, mereka sekadar mengajar mengenai nilai-nilai murni kepada pelajar sedangkan mereka sendiri tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik.
Sikap individu atau pelajar sendiri yang ambil mudah (sambil lewa) terhadap penerapan nilai murni ini. Misalnya mereka mempelajari sesuatu subjek itu adalah sekadar exam-oriented, hanya untuk lulus peperiksaan, bukannya memahami dan mempraktikkan apa yang dipelajari. Ada segelintir pelajar yang suka dipaksa untuk melakukan sesuatu perkara, maka dengan tidak adanya paksaan samada dari ibubapa ataupun guru menyebabkan mereka melalaikannya.
9.0 Konsep Pemuafakatan Dalam Pendidikan
Dalam pendidikan, konsep pemuafakatn ini ditumpukan kepada pemuafakatan antara guru, ibubapa, masyarakat dan murid itu sendiri. Antaranya yang jelas kita nampak ialah pemuafakatan yang dibuat melalui penibuhan PIBG di sekolah-sekolah untuk menangani dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan sekolah, perkembangan , kemajuan serta masalah yang melanda pelajar serta sekolah tersebut.
Dengan adanya PIBG, ini menunjukkan bebanan di sekolah tidak hanya dipikul oleh guru sahaja tetapi juga mendapat kerjasama daripada ibu-bapa pelajar. Sebarang kemajuan dapat dirasai bersama sebaliknya juga sebarang masalah perlu dipikul dan dibanteras bersma.
Konsep pemuafakatan di sekolah juga dapat kita lihat melalui kegiata-kegiatan ko-kurikulum ataupun temasya yang diadakan. Contohnya temasya sukan atau sukaneka di sekolah adakalanya melibatkan tidak hanya pelajar berkenaan tetapi juga ahli keluarga pelajar tersebut. Ini menunjukkan adanya semangat kesukanan, setiakawan serta kerjasama dalam aktiviti yang dijalankan.
10.0 Penutup
Kesemua 16 nilai yang dipilih untuk disisipkan kedalam pendidikan adalah nilai-nilai yang dapat menjadikan seseorang itu manusia yang dihormati dan boleh memainkan peranan yang aktif dalam menjamin keharmonian dalam masyarakatnya serta dapat menyumbang kearah pembangunan masyarakat.
Tanggungjawab untuk menyediakan generasi yang seimbang dan harmonis dari segi JERI bagi melaksanakan hasrat FPN bukanlah satu yang mudah. Penggubalan KBSM adalah harapan untuk melahirkan insan yang soleh dan berakhlak mulia.
Tugas guru dalam menerapkan nilai murni tidak semestinya bergantung 100% kepada kandungan kurikulum yang ditentukan tetapi perlulan juga berdasarkan inisiatif mereka sendiri. Guru sebagai "role model" perlulah menunjukkan dan menainkan peranan dalam menerapkan nilai murni baik dari segi perbuatan, perlakuan maupun tuturkatanya. Guru harus cekap dalam menyampaikan isi pelajaran disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam penyampaiannya. Begitu juga dalam memilih kaedah dan waktu hendaklah bersesuaian.
Kesemua nilai yang disenaraikan merupakan asas atau jambatan kepada pelajar yang masih dibangku sekolah dalam membentuk perwatakan dan displin diri yang tinggi dan mulia. FPN digubal berpandukan kepada konsep berteraskan Allah SWT. Ia menampakkan sifat yang bersepadu, menyeluruh dan seimbang iaitu kesepaduan di antara ilmu, iman dan amal; kesepaduan di antara akal, jasad dan roh; kesepaduan di antara teori dan amali, di antara kemahiran dan akhlak; di antara rupa dan jiwa; di antara pembangunan keduniaan dan akhirat; dan di antara manusia, alam dan Allah, yang mana kesemuanya bermatlamatkan pemikiran insan soleh . Insan yang baik akan membentuk keluarga yang baik, seterusnya masyarakat serta bangsa yang baik.
Tindakan kerajaan menukarkan kurikulum lama kepada kurikulum baru iaitu pendidikan bersepadu (KBSM) adalah satu langkah yan bijak dan tepat. Ini menunjukkan kerajaan ada campurtangan dan turut memberi penekanan kepada bukan sahaja ilmu yang bersifat kerohanian dan keduniaan tetapi juga ilmu moral yang lebih bersifat kejasmanian dan keakhiratan. Pendidikan akan sentiasa terus berlangsung, tiada limitasinya. Matlamat akhir pendidikan bersepadu adalah merupakan integrasi tanggungjawab membentuk insan yang baik dan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek selaras dengan kehendak FPN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment