KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
KEMAHIRAN MENDENGAR
Sebelum guru ditugaskan mengajar di
sekolah-sekolah, mereka perlu mendapatkan latihan yang mencukupi sebagai
persediaan agar dapat mengatasi segala permasalahan yang timbul semasa
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Disamping, membantu dalam mencapai
objektif P&P yang diharapkan. Kaedah, pendekatan dan teknik merupakan
antara faktor yang terpenting dalam ilmu pendidikan khususnya bidang bahasa.
Kaedah ditakrifkan sebagai satu rencana (prosedur) yang menyeluruh bertujuan
untuk mengajar sesuatu bahan bahasa secara menyeluruh dan didasarkan kepada
pendekatan yang dianuti. Sesuatu kaedah yang dipilih seharusnya tidak
bercanggah dengan pendekatan. Selain itu, kaedah juga merupakan prosedur yang
terdiri daripada langkah-langkah dan peringkat-peringkat secara teratur dan
harus diikuti untuk mencapai sesuatu tujuan (Mangantar Simanjuntak, 1982:72)
guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan
pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan
penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan
murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.
Menurut Currie (1973), menyatakan :
‘ Usually, methods is classified by the way we try to achieve the aim; thus we
hear of expository methods, heuristic methods, activity methods and the like.
Method is thus the psilosophy of our teaching task in a given subject in that
it oreintates us to the teaching. What we have described as teaching techniques
are ways in which, this philosophy is realised in actual class lessons.’
1. Kemahiran Mendengar
Dalam konteks kemahiran lisan,
kemahiran mendengar ialah proses yang melibatkan aktiviti perolehan mesej atau
maklumat Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan
teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan
seperti cerita, arahan, perbualan, soal jawab, laporan berita, dan
perbincangan. Kemahiran mendengar ini adalah kemahiran lisan yang paling asas
dan ia berlaku pada peringkat penerimaan (receptive level).
Seseorang murid yang telah
dapat menguasai kemahiran mendengar harus dapat mendengar dengan baik apa
sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat memahami maksud serta boleh
mentafsir apa sahaja yang didengar itu dengan tepat. Kemahiran ini juga
dimulakan pada peringkat awal pengajaran bahasa yang bertujuan untuk
memungkinkan murid fasih bercakap dalam bahasa yang dipelajari itu.
Menurut ILA (1996), kemahiran
mendengar merupakan satu proses menerima atau memahami makna dan tindak balas
terhadap percakapan atau bukan percakapan untuk mendengar sesuatu yang
melibatkan proses minda atau pemikiran. Menurutnya lagi, terdapat dua cara
komunikasi yang berkesan iaitu, bergantung kepada percakapan dan pendengaran.
Menurut Yahya Othman dalam buku
‘Pedagogi Bahasa’ pula menyatakan bahawa mendengar adalah kemahiran bahasa yang
penting dan perlu dipelajari secara intensif terutama semasa belajar di sekolah
rendah seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar
penting untuk dikuasai kerana penggunaannya begitu meluas dalam kehidupan
seharian.
Sehubungan itu, dianggarkan lebih
kurang 60 peratus daripada masa yang digunakan adalah bagi tujuan
mendengar. Keupayaan mendengar yang berkesan perlu ditekankan supaya murid
dapat menguasai semua mata pelajaran ketika di dalam kelas.
Takrif
Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar adalah satu
proses yang melibatkan dua peringkat kemahiran. Peringkat pertama ialah
menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahasa yang hampir sama seperti:
b – d (badang - padang)
d – t (datang - tatang)
l – r (lali - lari)
k – g (kalah - galah)
Peringkat kedua pula ialah
memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat.
Pemahaman tentang bunyi bahasa itu bergantung pada pengetahuan, pengalaman,
budaya dan sikap pendengar itu.
Untuk memahami bunyi bahasa,
seseorang itu perlu mempunyai unsur-unsur kefahaman yang berikut:
a)
Pengetahuan yang sedia ada pada pendengar seperti fakta danbudaya bahasa
yang
didengar serta bagaimana bahasa digunakan.
b)
Pengetahuan tentang situasi berlakunya pertuturan yang didengar.
c)
Pengetahuan tentang sistem bahasa.
Apabila ketiga-tiga unsur ini
ada, maka seseorang itu akan memahami bunyi bahasa yang didengar dengan lebih
senang. Proses mendengar adalah satu aktiviti yang aktif. Si pendengar mesti
mengenal pasti dan mengetahui makna bunyi bahasa. Selain itu pendengar juga
memilih dan menyimpan apa yang difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan
mendengar adalah suatu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas
mendengar
Proses mendengar sesuatu yang didengar melibatkan
organ telinga untuk mendengar sesuatu bunyi. Proses mendengar ini juga biasanya
berlaku dalam empat peringkat iaitu yang pertama, mendengar deretan bunyi-bunyi
bahasa, kemudian memahami bunyi-bunyi tersebut, menilai bunyi-bunyi tersebut
dan yang keempat bertindak terhadap bunyi-bunyi tadi.
Matlamat
Kemahiran Mendengar
Murid-murid didedahkan dengan
kemahiran mendengar di sekolah adalah untuk membantu murid mendengar untuk
menerima dan memahami idea yang disampaikan dalam perbualan, perbincangan,
dialog, mesyuarat, dan penjelasan dalam proses pengajaran guru. Manakala dalam
kehidupan seharian, aktiviti mendengar sentiasa wujud dalam interaksi social,
untuk mendapat hiburan, memperoleh maklumat serta penyataan perasaan dan
apresiasi seni.
Justeru, melalui keMahiran mendengar
ini, murid-murid didedahkan dengan memperoleh idea, mencari isi-isi penting,
mengenalpasti makna tersirat dan sebagainya.
Peringkat-peringkat
Kemahiran Mendengar
Terdapat tiga peringkat dalam kemahiran mendengar.
- Pada peringkat awal kemahiran mendengar, murid akan diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Pada peringkat ini juga, pelajar akan melakukan perkara dan aktiviti yang disuruh oleh guru. Sebagai contoh, guru menyuruh muridnya menggayakan gaya seekor itik, maka murid tersebut akan bertindak balas dengan menggayakan aksi seekor itik mengikut kekreatifan masing-masing. Selain itu, pada peringkat awal ini, pelajar cepat bertindak terhadap soalan yang mudah. Murid-murid juga dapat mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.
- Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, murid didedahkan untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan terperinci. murid juga diajar untuk mengenal informasi-informasi spesifik atau maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu murid tentang sebuah peristiwa yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat meningkatkan pengetahuan murid serta dapat mengetahui cara-cara untuk menghayati sambutan perayaan atau peristiwa seperti yang diberitahu oleh guru. Pada peringkat ini juga, murid didedahkan untuk mengenali sebab dan akibat sesuatu tindakan yang dibuat.
- Peringkat ketiga pula ialah peringkat maju dalam kemahiran mendengar. Pada peringkat ini, murid dilatih untuk mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah karangan, guru akan mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam karangan tersebut. murid akan dapat mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap. Selain daripada itu, murid akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang bercakap. murid tersebut juga dapat membezakan tekanan dan intonasi dalam sesebuah pertuturan. Contohnya, dalam sukatan pelajar Tahun Empat, pelajar diajar mendengar dan mengecam intonasi yang betul dalam soalan tanpa kata tanya. Mereka juga diajar untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang didengar sama ada merujuk kepada guru atau kawan-kawan. Pada peringkat ini juga, murid akan dididik untuk mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat menafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.
Justeru, sesorang guru yang ingin
merancang sebuah bentuk pengajaran dalam kemahiran mendengar haruslah memahami
dan mematuhi beberapa prinsip yang telah digariskan dengan tujuan untuk
menyampaikan sebuah engajaran yang lebih efektif. Antara prinsip penting dalam
proses mengajar kemahiran mendengar adalah :
a) Mendengar
merupakan gabungan daripada segala yang pernah dilihat, didengar dan diingati
b) Proses
mendengar berlaku melalui latihan scara khusus yang dilaksanakan secara
berperingkat-peringkat
c) Individu
lebih banyak belajar mendengar melalui pengalamannya
d) Aspek
fizikal, psikologi dan nerologi mempengaruhi proses pendengaran seseorang
e) Pendengaran
yang cekap menyatukan idea secara logik dan berkesan
f)
Mendengar
berlaku melalui proses akal dan bukannya perasaan
g) Mendengar
untuk mengkritik perlu berasaskan idea utama, hujah dan bukti tertentu
h) Mendengar
untuk hiburan memerlukan tindak balas terhadap muzik
i)
Mendengar
untuk apresiasi memerlukan perlakuan bahasa menganalisis secara kritis terhadap
bentuk dan isi.
Faktor – faktor yang mempengaruhi Kemahiran
Mendengar
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa kemahiran
mendengar boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Biasanya ia dibahagikan kepada
beberapa kategori. Namun yang demikian, bentuk-bentuk kemahiran mendengar ini
juga dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu. Seseorang itu dapat membuat
tafsiran, mengkritik, menganalisis, membuat ulasan dan komen yang bernas dan
jitu. Biasanya murid yang mampu mendengar secara kreatif adalah yang terdiri
daripada mereka yang boleh berfikir dengan baik, cekap dan bijak. Mereka itu
telah mempelajari dan menguasai bahasa yang hendak digunakan itu dengan baik.
Salah satu faktor yang mempengaruhi kemahiran
mendengar adalah faktor fizikal. Kanak-kanak normal mempunyai pendengaran
yang semula jadi sejak dilahirkan. Peringkat kemahiran ini berbeza antara
seseorang ada yang mempunyai pendengaran tajam dan ada yang sebaliknya walaupun
mereka tidak tergolong dalam cacat pendengaran.
Faktor yang seterusnya adalah jantina. Terdapat
perbezaan kemahiran mendengar antara kanak-kanak lelaki dan perempuan. Apabila
kanak-kanak lelaki berumur 7 hingga 9 tahun, mereka kurang kefahaman tentang
kemahiran mendengar berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang sebaya dengan
mereka.
Yang ketiga adalah status ekonomi. Latar belakang
keluarga seperti kemudahan rumah, pengaruh ahli keluarga serta interaksi antara
ahli keluarga boleh mempengaruhi kemahiran mendengar kana-kanak. Kanak-kanak
yang terganggu emosinya tidak akan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap
apa yang didengar.
Faktor lain juga termasuklah gangguan bunyi.
Semasa mendengar, terdapat banyak gangguan seperti persekitaran dan bunyi
bising. Ini mempengaruhi pengamatan dan kemahiran mendengar seseorang itu.
Yang terakhir adalah mental. Kemahiran mendengar
ini berkait rapat dengan daya pemikiran seseorang kerana sesuatu yang didengar
melalui deria telinga akan melalui proses mental untuk bertindak balas. Tahap
pemikiran kanak-kanak akan mempengaruhi kecekapan mereka mendengar.
Kesimpulan
Pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar
membolehkan murid-murid menguasai kemahiran mendengar dengan teliti terhadap
bunyi-bunyi bahasa dan seterusnya memahami mesej yang dibawa oleh bunyi-bunyi
bahasa tersebut. Prinsip dalam mengajar kemahiran mendengar iaitu mendengar
merupakan gabungan daripada apa yang dilihat, di dengar dan diingat membuktikan
bahawa dalam proses mendengar, seseorang pendengar yang baik menggunakan alat
pendengaran dan keupayaan akalnya secara bijaksana dan amat bertepatan dengan
penyataan individidu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalamannya
berbanding kecerdasan otaknya. Pendengaran yang cekap menyatukan idea secara
logik dan berkesan.