Selamat Datang Ke Blog No0rfarila

Thursday, 15 November 2012

KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN





KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 

 KEMAHIRAN MENDENGAR
 PENGENALAN

Sebelum guru ditugaskan mengajar di sekolah-sekolah, mereka perlu mendapatkan latihan yang mencukupi sebagai persediaan agar dapat mengatasi segala permasalahan yang timbul semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Disamping, membantu dalam mencapai objektif P&P yang diharapkan. Kaedah, pendekatan dan teknik merupakan antara faktor yang terpenting dalam ilmu pendidikan khususnya bidang bahasa. Kaedah ditakrifkan sebagai satu rencana (prosedur) yang menyeluruh bertujuan untuk mengajar sesuatu bahan bahasa secara menyeluruh dan didasarkan kepada pendekatan yang dianuti. Sesuatu kaedah yang dipilih seharusnya tidak bercanggah dengan pendekatan. Selain itu, kaedah juga merupakan prosedur yang terdiri daripada langkah-langkah dan peringkat-peringkat secara teratur dan harus diikuti untuk mencapai sesuatu tujuan (Mangantar Simanjuntak, 1982:72)
guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.  
Menurut Currie (1973), menyatakan :
            ‘ Usually, methods is classified by the way we try to achieve the aim; thus we hear of expository methods, heuristic methods, activity methods and the like. Method is thus the psilosophy of our teaching task in a given subject in that it oreintates us to the teaching. What we have described as teaching techniques are ways in which, this philosophy is realised in actual class lessons.’

1. Kemahiran Mendengar
Dalam konteks kemahiran lisan, kemahiran mendengar ialah proses yang melibatkan aktiviti perolehan mesej atau maklumat Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti cerita, arahan, perbualan, soal jawab, laporan berita, dan perbincangan. Kemahiran mendengar ini adalah kemahiran lisan yang paling asas dan ia berlaku pada peringkat penerimaan (receptive level).

 Seseorang murid yang telah dapat menguasai kemahiran mendengar harus dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat memahami maksud serta boleh mentafsir apa sahaja yang didengar itu dengan tepat. Kemahiran ini juga dimulakan pada peringkat awal pengajaran bahasa yang bertujuan untuk memungkinkan murid fasih bercakap dalam bahasa yang dipelajari itu.

Menurut ILA (1996), kemahiran mendengar merupakan satu proses menerima atau memahami makna dan tindak balas terhadap percakapan atau bukan percakapan untuk mendengar sesuatu yang melibatkan proses minda atau pemikiran. Menurutnya lagi, terdapat dua cara komunikasi yang berkesan iaitu, bergantung kepada percakapan dan pendengaran.

Menurut Yahya Othman dalam buku ‘Pedagogi Bahasa’ pula menyatakan bahawa mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif terutama semasa belajar di sekolah rendah seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting untuk dikuasai kerana penggunaannya begitu meluas dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, dianggarkan lebih kurang  60 peratus daripada masa yang digunakan adalah bagi tujuan mendengar. Keupayaan mendengar yang berkesan perlu ditekankan supaya murid dapat menguasai semua mata pelajaran ketika di dalam kelas.

Takrif Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar adalah satu proses yang melibatkan dua peringkat kemahiran. Peringkat pertama ialah menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahasa yang hampir sama seperti:

b – d (badang - padang)
d – t (datang - tatang)
l – r (lali - lari)
k – g (kalah - galah)

Peringkat kedua pula ialah memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat. Pemahaman tentang bunyi bahasa itu bergantung pada pengetahuan, pengalaman, budaya dan sikap pendengar itu.
Untuk memahami bunyi bahasa, seseorang itu perlu mempunyai unsur-unsur kefahaman yang berikut:

a) Pengetahuan yang sedia ada pada pendengar seperti fakta danbudaya bahasa                           yang didengar serta bagaimana bahasa digunakan.
b) Pengetahuan tentang situasi berlakunya pertuturan yang didengar.
c) Pengetahuan tentang sistem bahasa.

Apabila ketiga-tiga unsur ini ada, maka seseorang itu akan memahami bunyi bahasa yang didengar dengan lebih senang. Proses mendengar adalah satu aktiviti yang aktif. Si pendengar mesti mengenal pasti dan mengetahui makna bunyi bahasa. Selain itu pendengar juga memilih dan menyimpan apa yang difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan mendengar adalah suatu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar
Proses mendengar sesuatu yang didengar melibatkan organ telinga untuk mendengar sesuatu bunyi. Proses mendengar ini juga biasanya berlaku dalam empat peringkat iaitu yang pertama, mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa, kemudian memahami bunyi-bunyi tersebut, menilai bunyi-bunyi tersebut dan yang keempat bertindak terhadap bunyi-bunyi tadi.
Matlamat Kemahiran Mendengar
 Murid-murid didedahkan dengan kemahiran mendengar di sekolah adalah untuk membantu murid mendengar untuk menerima dan memahami idea yang disampaikan dalam perbualan, perbincangan, dialog, mesyuarat, dan penjelasan dalam proses pengajaran guru. Manakala dalam kehidupan seharian, aktiviti mendengar sentiasa wujud dalam interaksi social, untuk mendapat hiburan, memperoleh maklumat serta penyataan perasaan dan apresiasi seni.
Justeru, melalui keMahiran mendengar ini, murid-murid didedahkan dengan memperoleh idea, mencari isi-isi penting, mengenalpasti makna tersirat dan sebagainya.
 Peringkat-peringkat Kemahiran Mendengar

Terdapat tiga peringkat dalam  kemahiran mendengar.  
  • Pada peringkat awal kemahiran mendengar, murid akan diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Pada peringkat ini juga, pelajar akan melakukan perkara dan aktiviti yang disuruh oleh guru. Sebagai contoh, guru menyuruh muridnya menggayakan gaya seekor itik, maka murid tersebut akan bertindak balas dengan menggayakan aksi seekor itik mengikut kekreatifan masing-masing. Selain itu, pada peringkat awal ini, pelajar cepat bertindak terhadap soalan yang mudah. Murid-murid juga dapat mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.
  •  Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, murid didedahkan untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan terperinci. murid juga diajar untuk mengenal informasi-informasi spesifik atau maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu murid tentang sebuah peristiwa yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat meningkatkan pengetahuan murid serta dapat mengetahui cara-cara untuk menghayati sambutan perayaan atau peristiwa seperti yang diberitahu oleh guru. Pada peringkat ini juga, murid didedahkan untuk mengenali sebab dan akibat sesuatu tindakan yang dibuat.  
  • Peringkat ketiga pula ialah peringkat maju dalam kemahiran mendengar. Pada peringkat ini, murid dilatih untuk mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah karangan, guru akan mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam karangan tersebut. murid akan dapat mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap. Selain daripada itu, murid  akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang bercakap. murid tersebut juga dapat membezakan tekanan dan intonasi dalam sesebuah pertuturan. Contohnya, dalam sukatan pelajar Tahun Empat, pelajar diajar mendengar dan mengecam intonasi yang betul dalam soalan tanpa kata tanya. Mereka juga diajar untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang didengar sama ada merujuk kepada guru atau kawan-kawan. Pada peringkat ini juga, murid akan dididik untuk mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat menafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.
 Justeru, sesorang guru yang ingin merancang sebuah bentuk pengajaran dalam kemahiran mendengar haruslah memahami dan mematuhi beberapa prinsip yang telah digariskan dengan tujuan untuk menyampaikan sebuah engajaran yang lebih efektif. Antara prinsip penting dalam proses mengajar kemahiran mendengar adalah :

a)    Mendengar merupakan gabungan daripada segala yang pernah dilihat, didengar dan diingati
b)    Proses mendengar berlaku melalui latihan scara khusus yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
c)    Individu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalamannya
d)    Aspek fizikal, psikologi dan nerologi mempengaruhi proses pendengaran seseorang
e)    Pendengaran yang cekap menyatukan idea secara logik dan berkesan
f)     Mendengar berlaku melalui proses akal dan bukannya  perasaan
g)    Mendengar untuk mengkritik perlu berasaskan idea utama, hujah dan bukti tertentu
h)    Mendengar untuk hiburan memerlukan tindak balas terhadap muzik
i)      Mendengar untuk apresiasi memerlukan perlakuan bahasa menganalisis secara kritis terhadap bentuk dan isi.

Faktor – faktor yang mempengaruhi Kemahiran Mendengar

Terdapat kajian yang menyatakan bahawa kemahiran mendengar boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Biasanya ia dibahagikan kepada beberapa kategori. Namun yang demikian, bentuk-bentuk kemahiran mendengar ini juga dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu. Seseorang itu dapat membuat tafsiran, mengkritik, menganalisis, membuat ulasan dan komen yang bernas dan jitu. Biasanya murid yang mampu mendengar secara kreatif adalah yang terdiri daripada mereka yang boleh berfikir dengan baik, cekap dan bijak. Mereka itu telah mempelajari dan menguasai bahasa yang hendak digunakan itu dengan baik.

Salah satu faktor yang mempengaruhi kemahiran mendengar adalah faktor fizikal.  Kanak-kanak normal mempunyai pendengaran yang semula jadi sejak dilahirkan. Peringkat kemahiran ini berbeza antara seseorang ada yang mempunyai pendengaran tajam dan ada yang sebaliknya walaupun mereka tidak tergolong dalam cacat pendengaran.

Faktor yang seterusnya adalah jantina. Terdapat perbezaan kemahiran mendengar antara kanak-kanak lelaki dan perempuan. Apabila kanak-kanak lelaki berumur 7 hingga 9 tahun, mereka kurang kefahaman tentang kemahiran mendengar berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang sebaya dengan mereka.
                       
Yang ketiga adalah status ekonomi. Latar belakang keluarga seperti kemudahan rumah, pengaruh ahli keluarga serta interaksi antara ahli keluarga boleh mempengaruhi kemahiran mendengar kana-kanak. Kanak-kanak yang terganggu emosinya tidak akan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang didengar.

Faktor lain juga termasuklah  gangguan bunyi. Semasa mendengar, terdapat banyak gangguan seperti persekitaran dan bunyi bising. Ini mempengaruhi pengamatan dan kemahiran mendengar seseorang itu.
           
Yang terakhir adalah mental. Kemahiran mendengar ini berkait rapat dengan daya pemikiran seseorang kerana sesuatu yang didengar melalui deria telinga akan melalui proses mental untuk bertindak balas. Tahap pemikiran kanak-kanak akan mempengaruhi kecekapan mereka mendengar.  
 Kesimpulan
Pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar membolehkan murid-murid menguasai kemahiran mendengar dengan teliti terhadap bunyi-bunyi bahasa dan seterusnya memahami mesej yang dibawa oleh bunyi-bunyi bahasa tersebut. Prinsip dalam mengajar kemahiran mendengar iaitu mendengar merupakan gabungan daripada apa yang dilihat, di dengar dan diingat membuktikan bahawa dalam proses mendengar, seseorang pendengar yang baik menggunakan alat pendengaran dan keupayaan akalnya secara bijaksana dan amat bertepatan dengan penyataan individidu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalamannya berbanding kecerdasan otaknya. Pendengaran yang cekap menyatukan idea secara logik dan berkesan.

5 comments:

  1. Terima kasih di atas perkongsian ilmu ini..............

    ReplyDelete
  2. tahniah....amat teruja saya melihat blog ini. nukilan ilmu yg menarik. komen juga ya..blog saya.
    d20112052597.blogspot.com. TQ

    ReplyDelete
  3. Tahniah! Berjaya menghasilkan blog yang menarik!

    ReplyDelete