Selamat Datang Ke Blog No0rfarila

Sunday 25 November 2012

MODEL ASSURE





 MODEL ASSURE

1.Pengenalan
        Bidang teknologi berkait rapat dengan bidang pendidikan. Perkaitan ini telah menimbulkan model-model yang boleh diaplikasikan dalam bidang pendidikan. Justeru itu, adalah mustahak bagi guru untuk mendalami pengetahuan mengenai teknologi pendidikan dan pengajaran.Teknologi pendidikan adalah kaedah sistematik dengan menggabungkan pelbagai media komunikasi yang inovatif. Tujuan utama teknologi pengajaran digunakan adalah untuk mempengaruhi pembelajaran supaya pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada pengajaran guru tetapi kepada media dan bahan. Antara elemen-elemen rasional kepentingan teknologi dalam pendidikan seperti berikut:
  1. Motivasi
Dengan menggunakan teknologi dapat memotivasikan pelajar untuk belajar.Menurut Kozma dan Croginger (1992),  menerangkan beberapa cara teknologi dapat membantu dalam proses kognitif, motivasi dan membantu keperluan sosial pelajar.
  1. Keunikan pengajaran
Selain itu, keunuikan pengajaran boleh memudahkan suasana pembelajaran menjadi lebih hebat dan berkesan. Ia juga dapat menghubungkan pelajar dengan sumber maklumat dan alat pembelajaran.
  1. Sokongan kepada pendekatan baru pengajaran
Dewasa ini masyarakat mula sedar kepentingan teknologi dalam pelbagai bidang. Pelbagai pendekatan baru yang digunakan bagi memotivasikan pelajar  dalam bidang pendidikan. Antaranya pembelajaran koperatif , berkongsi kecerdikan dan mempunyai kemahiran yang tinggi.
  1. Meningkatkan produktiviti guru
Tidak dinafikan dengan penggunaan teknologi dapat mengurangkan kerja guru dan mejimatkan masa dalam penyimpanan rekod dan data. Sudah semestinya guru akan lebih produktif sekiranya mereka dilatih dan didedahkan dalam kaedah berasaskan teknologi dan mampu mengakses dengan pantas maklumat bagi keperluan mereka.
  1. Sebagai keperluan kemahiran ICT
Seperti yang telah diketahui keperluan ict pada zaman globalisasi ini amatlah penting dan ia perlu dikuasai oleh pelajar bagi menyediakan mereka untuk menjadi pelajar bermaklumat. Menurut Moursund (1995), tiga jenis laluan yang dikenali sebagai kemahiran asas untuk semua rakyat dalam Teknologi Maklumat (IT) ialah Literasi maklumat, literasi teknologi dan literasi Visual.
2.  Definisi Teknologi Pengajaran
      Menurut Silber (1970) teknologi pengajaran ialah pembangunan (penyelidikan, reka bentuk, penerbitan, penilaian, penggunaan) komponen sistem pengajaran ( mesej, manusia, bahan, alatan, teknik , keadan) dan pengurusan pembangunan ( organisasi, personel) yang sistematik bagi menyelesaikan masalah pendidikan.

 Teknologi pengajaran ; ialah satu cara sistematik untuk mereka bentuk, menjalankan, dan menilai proses keseluruhan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif khusus, penyelidikan yang berdasarkan kepada pembelajaran manusia dan komunikasi. ia juga melibatkan kombinasi sumber manusia dan sumber bukan manusia. Tujuannya ialah untuk membolehkan pengajaran menjadi efektif” ( Suruhanjaya Teknologi Pengajaran 1970)

Menurut Seels dan Richey (1994), teknologi pengajaran ialah teori dan praktis reka bentuk, pembangunan, penggunaan, pengurusan dan penilaian proses pelbagai sumber pembelajaran.

3. Model ASSURE                                                                                                             
       Model assure ini menggunakan akronim dengan menggabungkan pengajaran seperti yang diterangkan oleh Gagne.Maksud akronim ASSURE ini seperti berikut:
A         :           Analyze Learners ( menganalisis pelajar)
S         :           State Objective ( Menyatakan objektif)
S         :           Select Methods, Media and Materials ( memilih kaedah, media dan 
                      bahan )
U         :           Ultilize media and materials ( menggunakan bahan dan media)
R         :           Require Learner Participation ( memerlukan penglibatan pelajar)
E         :           Evaluate and revise      ( menilai dan menyemak semula bahan)


 Menurut Smaldino, Russell, Heinch dan Molenda (2005), model ini merupakan prosuder atau panduan untuk merancang dan menguruskan sesuatu bahan atau media dengan mengambil kira teknologi. Menurut Rozinah Jamaluddin ( 2003), model ASSURE adalah panduan prosuderal untuk perancangan dan pengendalian pengajaran dengan integrasi media. Proses pembagunan pengajaran yang lengkap bermula dengan keperluan bagi menentukan sama ada pengajaran itu sesuai atau tidak dengan apa yang ingin dicapai. Model ASSURE digunakan kepada perancangan media di bilik darjah

3.1  Menganalisis Pelajar
          Sebelum menggunakan bahan atau media dalam pengajaran guru perlu mengenali ciri-ciri pelajar, isi kandungan pelajaran, media dan bahan pelajaran. ini sebagai langkah pertama guru untuk persediaan sebelum memulakan pengajaran pembelajaran. Antara faktor yang di ambil kira untuk membuat keputusan dalam pemilihan media ialah:

i. Ciri-ciri am merangkumi sosial pelajar seperti umur, tahap gred, kedudukan, pekerjaan, faktor budaya dan sebagainya.
ii. Ketrampilan kemasukan khusus adalah pengetahuan kemahiran atau kekurangan yang ada pada pelajar.
iii. Gaya pembelajaran pula meliputi baka, psikologi yang mempengaruhi pelajar untuk menerima dan  bertindak balas terhadap rangsangan.
         Berdasarkan fakta yang dijelaskan, guru perlulah mengenal pasti pelajar sama ada dari segi umur, latar belakang, sosio ekonomi  dan tahap gred yang dicapai oleh pelajar sebelum menggunakan media berdasarkan model ASSURE dalam pengajaran pembelajaran. Sekiranya guru berdepan dengan pelajar yang pasif guru perlu membina model bahan atau media yang sesuai supaya pembelajaran tidak membosankan pelajar.
                Oleh itu, aras pengetahuan, kemahiran dan pengetahuan sedia ada juga perlu diambil kira supaya bahan media yang digunakan dapat mencapai sasaran objektif pengajaran guru. Sebagai contoh guru ingin membina bahan dan media bagi tajuk pekerjaan rasulullah S.A.W dan kehidupan baginda, guru perlu mengenal pasti latar belakang murid  sama ada pernah mendengar cerita Nabi Muhammad dan mengalami suasana kehidupan di Tanah Arab tersebut atau tidak. Jika pelajar belum pernah melalui suasana kehidupan masyarakat di tanah Arab, guru boleh memikirkan alternatif yang boleh memberi pengalaman kepada pelajar tanpa perlu berada di Tanah Arab. Dan sudah semestinya tayangan video merupakan pilihan yang tepat untuk tajuk tersebut. Dengan mengaplikasikan tayangan video  kehidupan masyarakat arab dan pekerjaan mereka itu murid dapat mengalami dan memahami cara kehidupan sebenar  Rasulullah  S.A.W. Sehubungan dengan itu, proses menganalisis pelajar amat penting kerana melalui maklumat awal dan latar belakang pelajar, guru dapat membina bahan media yang baik dan sesuai dengan latar belakang pelajar. Bahan media yang baik akan mendorong pelajar lebih memahami dan mengetahui maklumat pembelajaran dengan lebih mudah.

3.2    Menyatakan Objektif
              Objektif pengajaran dan pembelajaran perlu dinyatakan dengan jelas oleh guru. Ini adalah sebagai sasaran pengajaran pembelajaran dan semestinya pernyataan objektif mestilah tepat. Kepentingan objektif pengajaran adalah sebagai mengetahui dan memilih kaedah dan media pengajaran yang tepat. Dengan mengetahui objektif, guru dapat merancang dan mencipta suasana pembelajaran bagi mencapai objektif tersebut. Melalui objektif juga guru dapat menilai pelajar dengan tepat sama ada objektif yang diingini oleh guru tercapai atau tidak. Pernyataan objektif yang baik mempunyai empat kriteria.
  1. Siapakah yang hendak dicapai?
  2. Apakah yang hendak dicapai?
  3. Bagaimana hendak mencapai sasaran ?
  4. Apakah tahap pencapaian yang telah dicapai?

  1. Siapakah yang hendak dicapai?
    Dalam komponen ini tertumpu kepada perkara yang dilakukan oleh pelajar bukan yang dilakukan oleh guru. pembelajaran hnaya berlaku apabila pelajar itu aktif, mental yang sihat, iaitu dia dapat memproses idea atau secara fizikal seperti menguasai kemahiran dalam pengajaran pembelajaran.

  1. Apakah yang hendak dicapai?
               Soalan ini merujuk kepada tingkah laku pelajar. Tingkah laku yang menggambarkan keupayaan pelajar selepas mengikuti pengajaran dan merupakan unsur penting dalam sesuatu objektif. Tingkah laku yang dinyatakan dalam objektif pengajaran pembelajaran hendaklah dapat diukur dan dilihat pencapaiannya. Untuk menyatakan tingkah laku dalam objektif mestilah menggunakan istilah yang tepat dan sesuai. Istilah yang kabur seperti menyatakan, mengetahui, memahami dan sebagainya tidak akan dapat menghuraikan objektif dengan jelas.
Antara istilah yang boleh digunakan seperti:
  • menganalisis
  • memilih
  • mengkelaskan
  • mengkategorikan
  • menyebut
  • menyusun
  • membina
  • melabelkan
  • mewarna
  • menilai
  • membanding
  • mereka cipta
  • menggambarkan
  • mengukur
  • mengeneralisasikan

iii.        Bagaimana hendak dicapai?
           Untuk pencapaian objektif pengajaran pembelajaran hendaklah termasuk syarat tingkah laku baru yang dapat diperhatikan. Pernyataan syarat  pencapaian objektif juga dapat membantu guru menyediakan suasana dan langkah pengajaran pemberlajaran.
iv.        Apakah tahap pencapaian yang telah dicapai?
           Darjah atau aras pencapaian yang dicapai oleh pelajar sama ada aras 1, aras 2 atau aras 3. Ia merujuk kepada darjah ketepatan, kualiti atau kuantiti tingkah laku tempuh masa yang ditetapkan dan sebaginya.Kriteria berkenaan dinyatakan secara kualitif dan kuantitatif.
Contoh penulisan objektif bagi tajuk Pahala dan Dosa  Pendidikan Islam Tahun 4.
Pada akhir pembelajaran murid dapat :
Aras 1
Menyebut pengertian pahala dan dosa secara lisan.
Aras 2
Mengenal pasti amalan yang boleh diberi ganjaran pahala dan amalan yang dibalas dosa.
Aras 3
Mengklasfikasikan perbuatan yang boleh membawa kepada dosa dan pahala.

           Berdasarkan penulisan objektif tadi, sebelum memulakan sesuatu pengajaran guru perlu menyatakan objektif pengajaran pembelajaran bagi menetapkan apa yang perlu dicapai oleh pelajar dalam bahan media yang digunakan dalam pengajaran pembelajaran. Menurut Nicholson (1996) menyatakan bahawa objektif bagi sesuatu bahan media amat perlu bagi memastikan keberkesanan bahan media yang digunakan dalam pengajaran pembelajaran. Contohnya dalam tajuk perkara –perkara yang membatalkan solat guru menetapkan murid dapat menyenaraikan sekurang-kurangnya 6 perkara yang membatalkan solat. Guru boleh menggunakan bahan media seperti power point atau cdri berkaitan perkara-perkara yang membatalkan solat  menerusi tayangan tersebut. Ini secara tidak langsung dapat mengukur kebolehan murid dan objektif tercapai.

Klasifikasi objektif
Objektif diklasifikasikan mengikut jenis pembelajaran asas yang dikehendaki. terdapat 3 kategori bagi menerangkan dan menyusun jenis pembelajaran iaitu kemahiran kognitif, kemahiran afektif dan kemahiran psikomotor.

3.3     Pemilihan kaedah, media dan bahan.
                Seterusnya, perancangan yang sistematik dengan menggunakan media memerlukan kaedah, media dan bahan yang akan dipilih oleh guru dengan sistematik melalui langkah berikut:


      I.    Menetapkan kaedah yang tepat
Guru perlu memilih kaedah yang sesuai dalam mata pelajaran yang akan di ajar kepada pelajar. Contohnya aktiviti permainan boleh digunakan sebagai kaedah untuk menarik perhatian dan meningkatkan minat pada permulaan pelajaran. Sebagai mengembangkan pelajaran guru boleh melaksanakan kaedah sumbang saran atau perbincangan. Lantaran itu pelajar dapat mencambahkan maklumat baru. 
    II.    Memilih media yang sesuai bagi melaksanakan kaedah.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, format media ialah bentuk fizikal paparan mesej. Format media termasuk carta flip, slaid, audio, video, filem, komputer multimedia, CDRI , CDROOM dan sebagainya.  Sehubungan dengan itu, guru perlu memilih media dalam bentuk aliran atau senarai semaik. Guru perlu memilih media berdasarkan kumpulan sasaran, situasi pengajaran, angkubah pengajaran dan objektif sama ada kognitif, efektif dan psikomotor mesti di ambil kira bagi setiap format media yang digunakan.
   III.    Memilih, mengubahsuai atau mereka bentuk bahan.
Menurut Rozinah Jamaluddin (2003), bagi memperoleh bahan yang sesuai, guru perlu melibatkan 3 alternatif iaitu
·         memilih bahan yang tersedia ada.
·         mengubah suai bahan yang sedia ada.
·         mereka bentuk bahan yang baru.

                Memilih kaedah dan media yang sesuai juga adalah berdasarkan kebolehan pelajar dan objektif pembelajaran yang ingin dicapai. Sebagai contoh guru ingin menyampaikan isi pelajaran berkaitan Beriman pada Hari Akhirat kepada murid tahun 3. Sebelum tajuk ini di ajar, guru haruslah memilih terlebih dahulu kaedah dan media yang sesuai untuk memastikan objektif pembelajaran tajuk ini tercapai. Guru boleh menayangkan tanda-tanda hari kiamat seperti bencana alam, tsunami, gempa bumi, peperangan di Palestin dan seaginya melalui tayangan video atau YOU TUBE. Melalui tayangan tersebut pelajar akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai tajuk pengajaran dan dapat menjalankan aktiviti pembelajaran dengan baik dan berkesan serta kondusif. bahan ini sangat releven kerana ia akan dapat memberi pengalaman baru terhadap pelajar. Selain itu guru juga boleh meminta pelajar menjalankan aktiviti atau latihan di papan interaktif dengan menggunakan power point atau cdri mata pelajaran Pendidikan Islam .

3.4     Menggunakan Media dan Bahan
         Berdasarkan ASSURE terdapat 5 prinsip tatacara penggunaan media.
Langkah ini perlu dibuat sebelum media digunakan dalam pengajaran pembelajaran. Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah seperti
  • menyemak,
  • pratonton,
  • kaji bahan sumber sebelum digunakan,
  • sediakan bahan dengan betul, lengkap dan cukup,
  • rancang penggunaan bahan sumber,
  • sediakan persekitaran yang sesuai dengan menyusun bahan dan sumber agar mudah dicapai serta
  • menggunakan bahan secara optimum dalam proses pengajaran pembelajaran.
   Walaubagaimanapun, guru perlulah mengambil kira kos dan waktu pengajaran dalam penggunaan media. Media yang sesuai dengan topik pembelajaran tidak semestinya dapat  disesuaikan dengan waktu pengajaran terutamanya dalam 1 waktu dengan peruntukan masa 30 minit.
 
3.5        Memerlukan penglibatan pelajar
              Bagi langkah yang kelima, iaitu penglibatan pelajar dalam pembelajaran.Pembelajaran yang melibatkan pelajaran secara aktif akan menghasilkan tingkah laku yang diharapkan. Ini telah disokong oleh semua teori pembelajaran seperti teori kognitif dan teori behavioris. Pengalaman kejayaan pelajar terhadap pembelajaran akan meningkatkan motivasi pelajar terhadap aktiviti pembelajaran. Contohnya pembelajaran secara “ hand-on” seperti melabelkan Hukum Tajwid pada skrin komputer pada ayat-ayat Al Quran mengikut Surah yang di ajar oleh guru. Situasi ini akan memberi pengalaman baru terhadap pelajar bagi memahami dengan lebih jelas mengenai hukum-hukum tajwid berbandiing guru hanya menceritakan sahaja hukum tajwid tersebut sehingga murid menjadi bosan. Namun begitu, jika bahan media yang di bina oleh guru tidak melibatkan aktiviti yang aktif oleh pelajar akan menyebabkan objektif dan sasaran guru tidak akan tercapai. Oleh itu guru perlulah membina bahan atau media  yang kreatif sebagai menggalakkan pelajar terlibat secara aktif  dalam pengajaran pembelajaran. Secara tidak langsung dapat  memupuk budaya berfikir di kalangan pelajar. Justeru itu, bahan media yang berasaskan model ASSURE perlu digunakan oleh guru sebagai merancang tingkah laku dan minda pelajar dalam proses pengajaran pembelajaran.
3.6       Menilai dan menyemak semula bahan
            Komponen yang terakhir dalam Model ASSURE ialah menilai dan menyemak semula bahan. Kedua-dua komponen ini merupakan aspek penting kepada pembangunan kualiti pengajaran dan ia melibatkan langkah  yang berterusan . Penilaian seharusnya dilakukan oleh guru sepanjang pengajaran pembelajaran bagi  memastikan pilihan  objektif, media dan bahan sumber sesuai dengan keupayaan pelajar.Oleh itu, penilaian perlu dilakukan oleh guru bagi mengetahui pencapaian kemahiran mereka seperti yang dikehendaki oleh guru. Penilaian semasa pengajaran juga mempunyai tujuan diagnostik yang direka sebagai mengesan dan memperbaiki masalah yang boleh mengganggu pencapaian objektif pengajaran pembelajaran. Menurut Yusup (2006), terdapat beberapa aspek yang boleh digunakan antaranya:
  • Adakah objektif pembelajaran tercapai?
  • Adakah bahan media yang digunakan dapat membantu pengajaran pembelajaran?
  • Apakah kesemua pelajar dapat menguasai pembelajaran dengan menggunakan media?
  • Berapakah bilangan pelajar yang menggunakan bahan media dengan betul?
  • Adakah suasana pembelajaran berada dalam keadaan yang kondusif?

Manakala penilaian terhadap pencapaian pelajar adalah perlu bagi mengetahui keupayaan pelajar dalam memenuhi objektif tercapai. Selain itu, penilaian terhadap media dan bahan juga perlu dilaksanakansebagai mengetahui pengajaran itu berkesan dan dapat difahami oleh pelajar dengan jelas serta mencapai tahap sasaran guru dalam tajuk yang di ajar. Sekiranya terdapat kelemahan dalam penggunaan bahan dan media guru hendaklah memperbaiki kelemahan media sehingga ia sesuai digunakan dalam pengajaran pembelajaran.

4. Kesimpulan
             Jelaslah model ASSURE mempunyai peranan penting dalam membangunkan pengajaran pembelajaran yang berkualiti. Dengan menggunakan model ASSURE sebagai panduan reka bentuk pengajaran guru,  ia akan dapat membantu guru merancang rancangan pengajaran yang rapi dan sistematik. Dalam masa yang sama juga penggunaan model ASSURE ini akan menimbulkan minat pelajar untuk beralih kepada bahan lain, dan memberi kefahaman kepada pelajar dan mengubah persepsi pelajar bahawa pengajaran pembelajaran yang selalu dianggap sebagai membosankan.
 
REFLEKSI

Daripada tugasan ilmiah bagi kerja kursus portfolio KPD 3016 yang telah diterima dan diselesaikan. Sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya telah memperolehi pelabagai pengetahuan mengenai kebaikan Model ASSURE ini bagi diaplikasikan dalam pengajaran pembelajaran. Antaranya sebelum memulakan pengajaran pembelajaran saya perlu menganalisis murid terlebih dahulu. Pendekatan ini amat penting kerana untuk mengetahui keupayaan murid dan ciri-ciri yang ada pada mereka. Selain itu juga guru dapat merancang strategi pengajaran yang lebih berkesan agar tiada murid akan tercicir daripada menerima ilmu yang disampaikan oleh guru.
Di samping itu, saya juga telah mengetahui kepentingan menggunakan bahan sumber dalam pengajaran pembelajaran.Dalam Model ASSURE  ia amat menekankan penggunaan bahan sumber dalam pengajaran pembelajaran. Dengan kata lain, bahan sumber akan dapat membantu guru untuk menjadikan pengajaran pembelajaran lebih menarik, berkesan, dan penuh keseronokkan serta memberi kelainan agar murid tidak berasa bosan.
Namun begitu, untuk mewujudkan pengajaran pembelajaran yang meyeronokkan, saya perlu memilih kaedah dan strategi pengajaran yang sesuai begitu juga dengan bahan atau media yang sesuai. Kedua-dua elemen ini mestilah selaras dengan objektif pengajaran pembelajaran agar sasaran guru tercapai. Oleh yang demikian keenam-enam elemen dalam model ASSURE ini sangat penting bagi guru dalam pengajaran hariannya di dalam kelas. Sebagai kesimpulan, setiap guru perlulah mengguna, mempelajari dan mengaplikasikan model ASSURE ini apabila mengajar di kelas.
 
Bibliografi

Rozinah Jamaluddin . (2003). Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan
           Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Yusup Hashim . (1998). Teknologi Pengajaran. Shah Alam: Fajar Bakti.

Norasiah Abdullah. (2009). Teknologi dalam pengajaran pembelajaran. Puchong,
          Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Noriati Abdul Rashid dan Boon Pong Ying. (2009). Teknologi dalam pengjaran
          dan pembelajaran. KL : Oxford Sdn. Bhd.

Yusup Hashim. (2006). Penggunaan Teknologi Intruksional dalam Kurikulum dan
            Instruksi sumber dari 

Abdul Jasheer Abdullah. (2005). Prinsip Teknologi Pengajaran
  Sumber dari www.freewebs.com/oum1/Bab%202%20PTP.ppt


5 comments:

  1. Tahniah dapat menghasilkan blog yang cantik.Semoga berjaya

    ReplyDelete
  2. Mohon share ilmunya..
    Jazaakillah khair jaza'

    ReplyDelete
  3. terima kasih banyak-banyak cikgu norfarila. entri ni banyak membantu sy dalam exam.

    ReplyDelete